SemasaSukan

SUKMA 2026 Penting Bagi Cungkil Bakat Tinju Baharu – Mohamad Iruan

Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dijangka menjadi medan penting bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan tinju negara, sekali gus memperkukuh persiapan jangka panjang menghadapi kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Olimpik.

Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata pihaknya kini menyusun pelan pembangunan menyeluruh untuk mengenal pasti dan membimbing atlet muda berpotensi menyerlah di pentas berprestij seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik.

“SUKMA 2026 penting kerana menampilkan atlet berusia 17 hingga 18 tahun. Jika mereka berjaya di SUKMA, enam tahun kemudian mereka berusia 24 tahun – waktu paling sesuai untuk kita bentuk mereka sebagai jaguh di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau, hasrat tersebut telah dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam satu pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di Selangor.

Mengulas lanjut, Mohamad Iruan berkata PTM turut memohon bajet tambahan tahun depan bagi menaik taraf 13 pusat latihan tinju negeri dengan kemudahan lebih baik, termasuk gelanggang (ring) baharu.

Selain itu, skuad tinju negara bakal menghantar enam atlet ke Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini – tiga atlet kategori A dan tiga kategori B – dengan proses pemilihan masih dijalankan oleh ketua jurulatih tanpa campur tangan persatuan.

Beliau optimis barisan atlet tersebut mampu menghadiahkan pencapaian membanggakan untuk negara pada temasya dwitahunan itu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button