
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung fitnah yang cuba mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Dalam satu hantaran di Facebook, Fadhlina berkata terdapat individu yang secara sengaja menyebarkan tuduhan palsu tersebut, termasuk mengaitkan arwah ibunya yang telah meninggal dunia.
“Akhir-akhir ini, banyak sekali fitnah direkayasa secara liar dan jahat, serta menyebarkan kebencian. Setakat menepis dan menafikan, ternyata tidak menjadi pengajaran. Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya. Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak terbabit dan berharap perkara ini menjadi pengajaran agar masyarakat tidak membuat spekulasi.
“Hormati keluarga Allahyarhamah Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan. Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya lagi.
Sebelum ini, dilaporkan pengetua berkenaan bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden sekolah telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis berhubung kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selesai.
— BERNAMA