
Di sebuah bandar yang musnah di bawah kepungan tentera Israel, seorang ibu Palestin, Noor Abu Hassira, hanya mampu berlindung dalam ketakutan di ruang bawah tanah bersama tiga anak perempuannya, setiap hari mungkin menjadi hari terakhir mereka.
Abu Hassira, yang mengalami kecederaan parah akibat serangan udara yang meruntuhkan rumahnya pada awal perang, berkata dia tidak mampu bergerak jauh atau melarikan diri. Keadaan kewangan yang menghimpit membuatkan beliau tidak berupaya menyediakan kos kira-kira USD2,000 (RM9,400) untuk berpindah ke selatan Gaza dan mendirikan khemah pelarian.
“Rasanya seperti kami hanya menunggu mati. Saya tidak peduli lagi,” tulisnya dalam satu mesej teks.
Suaminya, seorang wartawan, kini dipenjarakan oleh Israel. Noor kini menguruskan tiga anak perempuannya – Jouri, Maria dan Maha – seorang diri, di tengah-tengah kehancuran bandar yang sebelum perang dihuni sejuta orang.
Rumah keluarga itu musnah dalam serangan pada Disember 2023, menyebabkan Abu Hassira koma dengan tulang bahu, belakang dan kakinya patah. Maria turut mengalami retak tengkorak. Selepas beberapa bulan terlantar, suaminya ditangkap dalam satu serbuan di Hospital Shifa oleh tentera Israel dan sehingga kini tidak diketahui statusnya.
Sepanjang dua tahun perang yang berlarutan, Abu Hassira dan anak-anaknya telah berpindah lebih 10 kali dalam kota yang sama untuk menyelamatkan diri daripada serangan. Bekalan makanan dan air semakin sukar diperoleh, harga barangan melonjak berkali ganda, dan anak sulungnya Jouri mengalami kekurangan zat makanan.
“Saya takut anak-anak perempuan saya akan mati dan saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mereka,” katanya dengan suara penuh keletihan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 65,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan selepas serangan 7 Oktober 2023, dengan majoritinya wanita dan kanak-kanak. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan angka tersebut sebagai anggaran paling boleh dipercayai.
Kini, Abu Hassira dan tiga anaknya kekal berteduh di ruang bawah tanah rumah ibu bapanya di kawasan kejiranan Rimal, berhampiran Laut Mediterranean. Walaupun risalah pemindahan digugurkan tentera Israel, dia tidak mampu berpindah ke selatan.
“Saya berharap anak perempuan saya dan saya akan mati bersama sebelum kami terpaksa pergi. Kami benar-benar keletihan,” katanya.
Sumber: AP