
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam menziarahi Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang yang menjadi pusat strategik penyelarasan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2025 ke Gaza.
Misi itu disertai delegasi dari 45 negara termasuk 34 sukarelawan Malaysia yang kini dalam pelayaran merentasi Laut Mediterranean bagi membawa mesej menentang sekatan haram rejim Israel ke atas Gaza.
Dalam lawatan tersebut, Ahmad Zahid menerima taklimat daripada Ketua Pengarah SNCC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, bersama wakil gabungan NGO termasuk Cinta Gaza Malaysia dan Cinta Salam Malaysia.
Beliau turut berhubung secara langsung melalui panggilan video dengan kesemua 34 sukarelawan Malaysia yang diketuai aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri. Walaupun terdedah kepada ancaman serangan dron dan gangguan komunikasi, para peserta dilihat kekal bersemangat serta berani meneruskan misi.
“Malaysia bangga dengan keberanian anak-anak bangsa ini. Dunia sedang menyaksikan bagaimana mereka menulis sejarah demi Palestin,” kata Ahmad Zahid.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk terus berdoa, menyebarkan maklumat sahih serta mengelak daripada terpengaruh dengan propaganda rejim Israel.
“Marilah kita menjadi sebahagian daripada gelombang solidariti global untuk membebaskan Palestin dan menghentikan perang di Gaza,” tambahnya.