Semasa

Terima kasih Malaysia : Syeikh Prof. Dr. Ahmad Tayyib

Iktiraf kedudukan tinggi Universiti Al-Azhar di mata rakyat Malaysia

Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Profesor Dr Ahmad Tayyib mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di atas pengurniaan anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442H, kepadanya semalam.

Syeikh Ahmad dalam satu hantaran berbahasa Arab menerusi akaun Facebook rasmi Universiti Al-Azhar hari ini merakamkan penghargaan itu khususnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengurniaan anugerah berkenaan.

Beliau berkata, anugerah berkenaan mencerminkan pengiktirafan terhadap kedudukan tinggi Universiti Al-Azhar di mata rakyat Malaysia.

Beliau turut menyatakan akan melakukan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri.

“Anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 2020 ini adalah penghargaan istimewa kepada saya oleh sebuah model negara Islam yang menjadi perintis dalam pembangunan dan keharmonian iaitu Malaysia.

“Anugerah ini pada hakikatnya pengiktirafan kepada institusi Al-Azhar serta para ulama dan pelajarnya. Setinggi penghargaan kepada Raja (Yang di-Pertuan Agong) dan Perdana Menteri Malaysia serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Syeikh Ahmad berkata, hubungan rapat antara Universiti Al-Azhar dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama sememangnya sangat bersejarah dan telah menyaksikan pelbagai kerjasama dalam segenap bidang termasuk hal ehwal agama, budaya dan ilmiah.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ berlangsung di Masjid Negara, semalam, turut menyaksikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat kebangsaan.

Pic:BERNAMA

Anugerah bagi pihak Prof Dr Ahmad Tayyib diwakili oleh Duta Mesir ke Malaysia, Gamal Abdel Rahim Mohamed Metwally.

Prof Dr Ahmad Tayyib tidak hadir berikutan penutupan sempadan negara akibat COVID-19.

Prof Dr Ahmad dilantik sebagai Syeikh Al-Azhar pada tahun 2010 hingga sekarang.

Beliau pernah dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Wilayah Qena pada 27 Oktober 1991 hingga 31 Ogos 1991 dan Dekan Fakulti Pengajian Islam (lelaki) di Wilayah Aswan, pada 15 November 1995.

Pada 10 Mac 2002 hingga 27 September 2003, beliau juga menjadi Mufti Negara bagi Republik Arab Mesir dan kemudian menjadi Rektor Universiti Al-Azhar bermula 28 September 2003 hingga 19 Mac 2010.

Pemilihan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berdasarkan sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global.

– Bernama

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button