PolitikSemasa

PM Anwar Ucap Selamat Bersidang Kepada Perwakilan UMNO Sempena PAU 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan selamat bersidang kepada seluruh kepimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang bermula hari ini sehingga Sabtu ini. Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menzahirkan harapan agar persidangan tersebut berlangsung dengan tertib serta diisi dengan wacana bernas yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

Beliau turut menekankan bahawa persidangan kali ini seharusnya menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi merealisasikan gagasan Malaysia MADANI. Menurut Perdana Menteri, Malaysia memerlukan landskap politik yang matang, berteraskan muafakat, serta saling menghormati antara satu sama lain. Keupayaan untuk bekerja bersama adalah kunci utama bagi menjamin kestabilan, kemakmuran, dan masa depan yang lebih adil serta inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menyatakan bahawa dalam mendepani cabaran politik dan ekonomi yang semakin sengit, kekuatan sebenar sesebuah negara tidak lahir daripada perbezaan yang dipicu. Sebaliknya, ia lahir daripada kesepaduan yang diperkukuh serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan negara mengatasi kepentingan lain. Dalam hantaran yang sama, beliau turut berkongsi sekeping gambar kenangan sewaktu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2023.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) ini melibatkan penyertaan seramai 6,412 perwakilan dari seluruh negara. Jumlah tersebut merangkumi 2,928 perwakilan utama, selain perwakilan daripada sayap Wanita (1,165 orang), Pemuda (1,173 orang), dan Puteri (1,146 orang). Perhimpunan ini sebelum ini telah ditangguhkan sebanyak dua kali bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button