EkonomiSemasa

Sarawak Bakal Jadi Hab Cip Termaju di Asia, Dijangka Beroperasi 2028 – Abang Johari

Sarawak bakal muncul sebagai hab teknologi cip termaju di rantau Asia menerusi pembangunan kemudahan pembuatan cip di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya yang dijadual memulakan operasinya pada tahun 2028.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kemudahan berteknologi tinggi tersebut akan menghasilkan cip generasi baharu khusus bagi kegunaan kecerdasan buatan (AI), robot humanoid serta sistem autonomi termasuk kenderaan dan jentera traktor.

“Kerja-kerja pembinaan bagi projek berkenaan telah pun bermula di kawasan Taiyo Yuden, Sama Jaya. Ini merupakan satu era baharu buat dunia, bukan untuk Sarawak semata-mata. Sarawak bakal menjadi hab bagi Asia, bukan sekadar di peringkat ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Projek Loji Rawatan Air Trusan Baharu serta pelancaran simbolik sambungan grid elektrik di Lawas, semalam.

Mengulas lanjut, Abang Johari memaklumkan bahawa projek pembuatan cip berskala besar itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara SoftBank Group Corp, Grab Holdings Ltd dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dengan modal permulaan bernilai AS$1 bilion.

“Menerusi usaha sama ini, SoftBank memegang sebanyak 80 peratus kepentingan dalam projek berkenaan, manakala Petros dan Grab masing-masing memiliki pegangan sebanyak 10 peratus.

“Projek ini jauh berbeza berbanding pembangunan pusat data konvensional kerana ia memberikan tumpuan khusus kepada teknologi cip generasi termaju, sekali gus membuka peluang luas kepada generasi muda di Sarawak untuk menceburi sektor industri berteknologi tinggi,” ujarnya.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button