
Pasukan keselamatan Israel bersama Menteri Keselamatan Negara yang berhaluan ekstrem, Itamar Ben-Gvir, bertindak menceroboh dan merobohkan struktur di ibu pejabat agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa.
Dalam kejadian di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah itu, saksi melaporkan pasukan Israel yang diiringi jentolak telah memusnahkan struktur mudah alih dan bangunan kekal di kompleks tersebut yang sebelum ini telah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa Israel.
Lebih mencetuskan kemarahan, pasukan Israel bertindak menurunkan bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menggantikannya dengan bendera Israel di atas bangunan berkenaan.
Serangan yang Tidak Pernah Berlaku
Jurucakap UNRWA, Jonathan Fowler, menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu pencerobohan luar biasa yang melanggar norma diplomatik.
“Ini merupakan serangan yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap UNRWA dan premisnya. Ia juga merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta imuniti yang diberikan kepada PBB,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada AFP.
Menurut saksi, serbuan tersebut bermula seawal jam 7 pagi waktu tempatan, membolehkan jentolak meratakan kawasan tersebut tanpa sebarang amaran awal.
Retorik Kebencian Pemimpin Zionis
Tindakan provokasi itu turut disokong oleh Timbalan Datuk Bandar Israel di Baitulmaqdis, Aryeh King. Menerusi hantaran di platform X, beliau secara terang-terangan melabel UNRWA sebagai “Nazi” dan menyatakan bahawa proses pengusiran agensi bantuan itu dari Baitulmaqdis kini sedang giat dijalankan.
Langkah terbaharu ini dilihat sebagai sebahagian daripada kempen berterusan Israel untuk melumpuhkan operasi UNRWA, yang menjadi talian hayat utama bagi berjuta-juta pelarian Palestin, khususnya ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.
Penganalisis antarabangsa memberi amaran bahawa tindakan mencabar kedaulatan premis PBB ini akan memburukkan lagi hubungan diplomatik Israel dengan badan dunia itu serta masyarakat antarabangsa.
Sumber: Agensi & TRT World







