
Seorang aktivis warga Korea Selatan dipercayai telah ditahan oleh Tentera Laut Israel selepas pasukan keselamatan rejim itu menyerang dan memintas ‘Flotila Global Sumud’ yang sedang dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza di Laut Mediterranean.
Memetik laporan Agensi Berita Yonhap, insiden tersebut berlaku apabila kapal Kyriakos X yang dinaiki aktivis berkenaan, Kim Dong-hyeon, dipintas oleh pihak berkuasa Israel berhampiran pulau Cyprus.
Menurut kumpulan bantuan yang menyokong pembebasan Palestin, Dong-hyeon dipercayai kini ditahan di atas kapal perang Israel bersama-sama beberapa aktivis antarabangsa yang lain. Beliau dilaporkan tetap meneruskan misi berkenaan awal bulan ini meskipun terdapat sekatan dan larangan perjalanan ke wilayah Palestin yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Korea Selatan tanpa kelulusan rasmi.
Aktivis Kedua Turut Terancam
Dalam perkembangan sama, kumpulan bantuan itu melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan seorang lagi aktivis Korea Selatan, Kim Ah-hyun. Beliau yang berada di atas sebuah kapal berhampiran dilaporkan berdepan risiko untuk turut dirampas oleh pihak Israel.
Untuk rekod, Ah-hyun sebelum ini pernah ditahan oleh pasukan Israel ketika cubaan pertama memasuki Gaza pada Oktober lalu sebelum dibebaskan kemudiannya.
Misi Pecah Sekatan Gaza
Flotila Global Sumud yang terdiri daripada lebih 50 buah bot itu mula belayar dari daerah Marmaris di Mediterranean Turki sebagai usaha terbaharu untuk memecahkan sekatan zalim Israel ke atas Gaza yang telah berlarutan sejak tahun 2007.
Pihak penganjur memaklumkan bahawa misi kemanusiaan ini disertai oleh seramai 426 peserta dari 40 buah negara. Daripada jumlah tersebut, 96 orang merupakan aktivis dari Turki, manakala selebihnya adalah peserta antarabangsa termasuk dari Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Indonesia, Brazil, Afrika Selatan, dan Ireland.
Ini bukan kali pertama flotila tersebut diserang, di mana pasukan Israel dilaporkan pernah melakukan serbuan serupa di luar pantai pulau Crete, Yunani, pada hujung April lalu. — AA







