
Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza semakin mendapat perhatian antarabangsa apabila 49 ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan menggesa tindakan lebih tegas diambil susulan kapal flotila berkenaan dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF).
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Seri Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menerima laporan bahawa kumpulan ahli Parlimen EU itu telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi mendesak Presiden Kesatuan Eropah mengambil langkah lebih drastik berhubung insiden penahanan aktivis kemanusiaan terbabit.
“Dunia juga sedang bangkit. Sebentar tadi saya menerima laporan bahawa 49 ahli Parlimen Kesatuan Eropah telah mengeluarkan satu kenyataan mendesak Presiden Kesatuan Eropah melakukan tindakan lebih drastik,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, lebih 50,000 petisyen dari seluruh dunia telah digerakkan dan dihantar kepada Menteri-Menteri Luar di pelbagai negara sebagai bentuk tekanan antarabangsa bagi memastikan isu berkenaan diberikan perhatian segera.
Menurut Sani Araby, perkembangan terbaharu itu jelas menunjukkan masyarakat antarabangsa kini semakin lantang menyuarakan solidariti terhadap perjuangan dan isu di Gaza.
“Ini menunjukkan bahawa kita kini berada dalam fasa memecah kebuntuan dan saya kira secara tidak langsung juga berada dalam fasa memecah kepungan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kerajaan Malaysia untuk terus memperhebat desakan diplomatik bagi membebaskan kesemua 350 aktivis kemanusiaan GSF, termasuk 25 rakyat Malaysia yang telah diculik di perairan antarabangsa oleh rejim tersebut.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memaklumkan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan pemimpin negara-negara Eropah termasuk Turkiye, Sepanyol dan lain-lain bagi memastikan semua aktivis yang ditahan rejim Zionis dibebaskan segera melalui usaha diplomatik bersepadu,” tambahnya lagi.
Pihak SNCC dengan tegas mengulangi pendirian bahawa kesemua aktivis yang ditahan mesti dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, penganiayaan, mahupun pelanggaran hak asasi manusia.
Tegasnya, kumpulan sukarelawan tersebut sama sekali tidak boleh dikenakan sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan memandangkan kehadiran mereka hanyalah untuk membawa suara keamanan serta menyalurkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa kesemua 10 buah kapal yang menyertai misi GSF 2.0 telah dipintas oleh pihak IOF, sekali gus mencetuskan kebimbangan global terhadap keselamatan para peserta misi kemanusiaan tersebut.
— BERNAMA







