
Lima petugas Penjara Taiping kini berdepan prosiding tindakan tatatertib, manakala seorang anggota penjara telah dihadapkan ke mahkamah susulan insiden serangan terhadap lebih 100 tahanan yang mengorbankan seorang penghuni penjara, tahun lalu.
Dalam insiden yang berlaku pada 17 Januari 2025, media melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping telah diserang oleh kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E. Serangan tersebut menyebabkan salah seorang tahanan, Gan Chin Eng, disahkan maut.
Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tindakan undang-undang dan disiplin terhadap kakitangan penjara terbabit diambil selepas meneliti laporan serta rumusan Panel Inkuiri Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden berkenaan.
Toleransi Sifar Terhadap Salah Laku Petugas
Menurut JPM, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus, dan menyeluruh.
“Hasil siasatan membawa kepada pertuduhan terhadap seorang anggota penjara di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian tanpa niat). Pada masa yang sama, lima lagi kakitangan penjara sedang berdepan prosiding tindakan tatatertib yang dilaksanakan oleh JPM,” menurut kenyataan itu.
JPM menegaskan bahawa tindakan tegas ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menegakkan prinsip akauntabiliti tanpa melindungi mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang, tanpa mengira pangkat atau jawatan yang disandang. Pihak jabatan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa, atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.
Cadangan Penjara Taiping Dijadikan Muzium
Sementara itu, Panel Inkuiri Awam SUHAKAM dalam keputusan akhir inkuiri mereka turut mencadangkan agar struktur Penjara Taiping ditutup dan dijadikan muzium kerana fasiliti tersebut dinilai tidak lagi sesuai untuk digunakan sebagai institusi penjara.
Dalam perkembangan berkaitan, JPM menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan komitmen untuk meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara, termasuk merancang pembinaan kompleks baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur di seluruh negara.
Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan memegang status Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi utama yang telah dikenal pasti memerlukan penggantian segera.
“Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat, dan kondusif adalah penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan, serta memelihara kebajikan prospek (tahanan) dan pegawai penjara,” jelas JPM.
Sumber Maklumat:
-
Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)







