DuniaKemanusiaanPalestinSemasa

Rakyat Palestin dan polis Israel bertempur di Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS: Penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di luar Kota Lama di timur bandar sehingga mengakibatkan kira-kira 12 orang cedera dan 10 ditangkap.

Ketika rakyat Palestin berkumpul selepas solat tarawih, seorang jurugambar AFP melaporkan ada objek dilemparkan ke arah polis yang kemudian bertindak balas dengan menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan di hadapan pintu Damsyik.

10 orang ditahan oleh polis Israel kerana merusuh dan menyerang pegawai hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera akibat dibaling botol ke mukanya.

Pihak Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan 11 orang cedera dalam pertempuran itu.

Menteri Luar Israel, Yair Lapid, melawat lokasi dan bertemu dengan pasukan polis yang mengawal lokasi terbabit, semalam.

“Ini adalah tempoh yang tegang, tetapi kami mempunyai pasukan polis yang boleh dipercayai dan saya berbangga dengan pegawai kami,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, turut bertemu dengan ketua perkhidmatan keselamatan dalaman Shin Bet dan komander tentera Tebing Barat susulan operasi Israel berhampiran Jenin Sabtu lalu.

Dalam operasi terbabit, tiga pejuang Palestin terbunuh dalam pertempuran senjata dengan pasukan khas Israel.

Sejak 22 Mac lalu, seramai 11 orang terbunuh dalam serangan di Israel termasuk beberapa serangan yang dikaitkan atau dilakukan oleh kumpulan DAESH.

Dalam tempoh sama, lapan rakyat Palestin terbunuh, menurut pengiraan AFP, termasuk dua penyerang dalam serangan anti-Israel dan enam orang yang dikatakan oleh Israel telah melakukan serangan atau akan melakukannya.

Konflik dahsyat antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza pada Ramadan tahun lalu, disebabkan oleh pertempuran berlaku antara tentera Israel dan Palestin di perkarangan masjid Al-Aqsa timur Baitulmaqdis.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button