
Malaysia mencipta sejarah dalam arena pendidikan antarabangsa apabila julung kalinya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 negara terbaik dunia pada Olimpiad Matematik Antarabangsa ke-67 (IMO 2026) yang berlangsung di Shanghai, China.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pasukan negara yang diwakili enam pelajar berbakat berjaya menduduki tangga ke-19 keseluruhan daripada 117 buah negara yang bertanding, sekali gus mengatasi pencapaian pada tahun lalu.
Merakamkan ucapan tahniah menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Fadhlina menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan buat negara.
“Buat kali pertama Malaysia berjaya berada dalam kelompok 20 negara terbaik di dunia apabila mencatat kedudukan ke-19 keseluruhan daripada 117 negara yang bertanding,” katanya.
Pasukan negara mempamerkan prestasi cemerlang dengan merangkul satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa serta satu anugerah sebutan khas selepas mengumpul keseluruhan 142 mata.
Berdasarkan perkongsian di halaman Facebook Olimpiad Matematik Malaysia, kejayaan bersejarah ini adalah hasil kerja keras dan bakat luar biasa enam pelajar yang menggalas cabaran mewakili negara dalam pertandingan peringkat global yang berprestij berkenaan.
Sumber: Agensi Berita Rasmi







