DomestikSemasa

Program MADANI Kita Platform Kerajaan Sampaikan Maklumat Sahih, Beri Kefahaman Isu Semasa

Program MADANI Kita (PMK) bertindak sebagai platform utama kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang sahih serta memberi kefahaman jelas kepada rakyat mengenai pelbagai dasar, inisiatif, dan isu semasa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain mendekatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan kepada komuniti, PMK berperanan penting menerangkan isu-isu kompleks dengan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat umum.

“Contohnya berhubung laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), anggotanya bukanlah terdiri daripada orang politik.

“Penerangan berhubung isu berkenaan perlu menggunakan ayat yang mudah untuk rakyat faham… biar rakyat faham apa yang berlaku dalam TH,” katanya ketika berucap merasmikan PMK Bersama-sama Komuniti Kota Raja di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Dekatkan Perkhidmatan, Lindungi Keselamatan Siber Kanak-Kanak

Mohamad berkata, program itu berjaya menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Negeri di bawah satu bumbung menerusi 27 reruai pameran yang memberi perkhidmatan secara terus kepada lebih 2,000 pengunjung.

Pelbagai aktiviti turut disusun bagi memperkukuh perpaduan komuniti pelbagai kaum, antaranya pertandingan bola sepak, e-sukan, dan persembahan kebudayaan tempatan.

Sementara itu, Bahria dalam ucapannya mengarang tegaskan bahawa keselamatan siber dan perlindungan pengguna, terutamanya kanak-kanak, kekal menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi.

Beliau mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan berlesen telah berjaya menurunkan sebanyak 1,550 kandungan jelik yang melibatkan kanak-kanak setakat 30 Jun lepas menerusi tindakan penguatkuasaan dan analisis forensik digital.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Related Articles

Back to top button