PalestinSemasa

Senator AS Desak Duta Besar ke Israel Mike Huckabee Meletak Jawatan

Senator Amerika Syarikat (AS), Chris Van Hollen, mendesak Duta Besar AS ke Israel, Mike Huckabee, agar meletakkan jawatan serta-merta selepas menuduh diplomat berkenaan gagal melindungi kepentingan Washington dan bertindak sebagai “pembela” kepada kerajaan ekstremis Israel.

Desakan tersebut disampaikan oleh Van Hollen menerusi satu mesej video yang dimuat naik di platform X pada Isnin.

“Sudah tiba masanya duta Amerika kita di Israel, Mike Huckabee, meletak jawatan. Tugas seorang duta AS adalah untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan Amerika Syarikat, namun Duta Huckabee jelas gagal berbuat demikian,” tegas Van Hollen.

Beliau menambah bahawa Huckabee kini lebih cenderung menjadi apologis dan penyokong kuat kepada pentadbiran paling ekstrem dalam sejarah Israel.

Kritikan lantang itu tercetus selepas Huckabee dilaporkan memberi maklum balas mengenai sokongannya terhadap tindakan Israel yang mahu menguasai wilayah lebih luas di bawah konsep “Israel Raya”. Apabila ditanya mengenai perkara tersebut, Huckabee didakwa menyatakan bahawa ia “tidak menjadi masalah jika mereka mengambil kesemuanya.”

Selain isu wilayah, Van Hollen turut menuduh Huckabee mengabaikan keselamatan serta hak warga AS di rantau berkenaan, terutamanya membabitkan beberapa kes di mana rakyat Amerika didakwa dilayan secara buruk atau ditahan secara salah.

Van Hollen mengesahkan bahawa beliau bersama 30 senator yang lain sebelum ini telah mendesak Huckabee untuk menuntut pertanggungjawaban daripada kerajaan Israel berhubung kematian lebih sembilan warga AS sepanjang tempoh empat tahun lalu.

Pada masa sama, Senator AS itu menempelak Huckabee kerana gagal mempertahankan komuniti Kristian di Tanah Suci walaupun pernah menyuarakan keprihatinannya terhadap golongan berkenaan sebelum ini.

“Di bawah penilainya sendiri, beliau telah gagal sepenuhnya dalam misi itu. Kita menyaksikan peningkatan serangan peneroka haram secara ganas ke atas kampung-kampung Kristian di Tebing Barat, dan serangan tersebut berlaku tanpa sebarang hukuman,” katanya.

Mengulas lanjut, Van Hollen menegaskan bahawa Huckabee tidak lagi layak memegang jawatan diplomatik tertinggi itu kerana membelakangkan tugas hakikinya demi mempertahankan rejim Israel.

“Beliau sepatutnya mempertahankan rakyat dan kepentingan Amerika, tetapi beliau gagal. Beliau mesti meletakkan jawatan hari ini juga,” ujar Van Hollen.

Sumber: Anadolu Agency (AA) / TRT World (US senator says Huckabee must resign over support for Israeli government)

Related Articles

Back to top button