Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melaungkan sorakan “Bebaskan Palestin” beberapa kali semasa berucap pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-100 sebuah sekolah pada Sabtu.
Suasana menjadi hiba apabila Duta Palestin ke Indonesia, Abdulfattah AK Al-Sattari, menghadiahkan sehelai kain keffiyeh kepada Prabowo. Menurut laporan agensi berita Antara, Prabowo yang kembali ke podium dilihat mengelap matanya dengan selendang berkenaan sebelum melaungkan slogan solidariti tersebut.
Dalam ucapannya, Prabowo menegaskan bahawa penderitaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan berterusan sepatutnya menjadi iktibar dan pendorong utama untuk Indonesia memperkukuh kekuatan serta kemandirian nasionalnya.
“Jika kita kuat, baharulah kita boleh membantu saudara-saudari kita yang ditindas oleh rejim lain. Kita mesti bertekad untuk tidak dijajah lagi oleh sesiapa pun,” tegas Prabowo sambil menekankan kepentingan mengurus serta melindungi sumber asli negara secara berkesan.
Serangan Terus Berlanjutan di Gaza
Sementara itu, laporan terbaharu menunjukkan pelanggaran gencatan senjata oleh rejim Israel terus mengorbankan nyawa di Gaza. Dalam insiden terbaharu pada Sabtu, tiga lagi rakyat Palestin terbunuh, termasuk Basir al-Bursh iaitu anak lelaki kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh, dalam serangan di kawasan kejiranan al-Zahra, utara Gaza.
Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa, pencerobohan berterusan dilaporkan telah mengorbankan 1,381 rakyat Palestin dan mencederakan 4,757 yang lain. Secara keseluruhannya, kempen ketenteraan Israel sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 73,700 nyawa serta memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur di Semenanjung Gaza.
Sumber: Agensi Anadolu (AA) via TRT World






