Pejabat Media Kerajaan Gaza mengumumkan pelaksanaaan “pelan kecemasan segera” bagi mengosongkan dan merobohkan 255 buah bangunan yang rosak teruk akibat pencerobohan rejim Israel kerana berisiko tinggi untuk runtuh pada bila-bila masa.
Pelan ini diketuai oleh Kementerian Kerja Raya dan Perumahan dengan kerjasama institusi tempatan serta badan-badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Langkah berani ini diambil susulan rentetan insiden kegagalan struktur di seluruh wilayah berkenaan, termasuk tragedi runtuhan bangunan Al-Saada di Bandar Gaza pada Rabu lalu yang mengorbankan 21 rakyat Palestin.
Pihak berkuasa telah mengarahkan pasukan lapangan untuk memasang garisan amaran di kawasan berisiko tinggi serta menyelaras penempatan perlindungan sementara bagi keluarga terjejas. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 61 rakyat Palestin telah terkorban akibat runtuhan bangunan yang rosak akibat perang setakat ini.
Halangan Operasi dan Sekatan Israel
Secara keseluruhannya, kementerian perumahan mengesahkan kira-kira 3,000 struktur bangunan di seluruh Gaza kini diklasifikasikan sebagai berbahaya atau berisiko runtuh. Walau bagaimanapun, usaha menyelamat dan merobohkan struktur berkenaan berdepan pelbagai cabaran kritikal:
-
Kekurangan dana kemantuan yang ketat bagi menguruskan penempatan semula.
-
Ketiadaan jentera berat dan peralatan perobohan akibat sekatan berterusan oleh rejim Israel.
-
Kekurangan kawasan tanah lapang yang selamat untuk membina kediaman sementara.
Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dimeterai sejak 10 Oktober 2025, ketiadaan alternatif perumahan, kekurangan khemah yang sesuai, serta tindakan Israel menyekat kemasukan unit rumah pasang siap (modular) memaksa beribu-ribu penduduk terus berlindung di dalam bangunan yang retak dan tidak stabil.
Sejak serangan bermula pada Oktober 2023, pencerobohan Israel telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 174,000 yang lain, serta memusnahkan atau merosakkan kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan infrastruktur di Semenanjung Gaza.
Sumber: TRT World dan Agensi







