
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 tahun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, hari ini.
Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan, dijangka menyampaikan ucapan perasmian pada jam 2.30 petang. Kehadiran beliau adalah bagi mengiktiraf segala jasa serta pengorbanan besar warga peneroka yang telah menjadi tulang belakang utama kepada pembangunan FELDA selama tujuh dekad sejak penubuhannya pada tahun 1956.
Majlis penuh bersejarah ini turut dijadualkan hadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pengiktirafan dan Penganugerahan
Bersempena dengan sambutan tersebut, Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan beberapa anugerah berprestij sebagai tanda penghargaan kepada warga FELDA, antaranya:
-
Anugerah Tokoh Peneroka dan Penerokawati FELDA 2025.
-
Anugerah Tokoh Generasi FELDA 2025.
-
Anugerah Tokoh Belia dan Beliawanis FELDA 2025.
-
Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF).
Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA ini dianjurkan bagi memperingati peranan besar agensi tersebut sebagai institusi pembangunan tanah dan komuniti luar bandar yang telah berjaya mengubah taraf sosioekonomi keluarga peneroka di seluruh negara.
Selain menjadi platform untuk menghargai generasi perintis, inisiatif ini turut menampilkan pelbagai pencapaian organisasi dalam memacu transformasi ekonomi, pendigitalan, inovasi teknologi, kelestarian alam sekitar, serta kesejahteraan komuniti.
Acara hari ini merupakan kemuncak kepada program sambutan yang telah berlangsung selama empat hari bermula 4 Julai lalu. Sepanjang tempoh tersebut, lebih daripada 40 aktiviti telah berjaya dianjurkan merangkumi pelbagai bidang termasuk aspek teknologi, sukan, pendidikan, inovasi, kebudayaan, dan kerohanian.
(Sumber: BERNAMA)







