PalestinSemasa

Türkiye Bersama Tujuh Negara Tuntut Israel Tamatkan Pelanggaran Gencatan Senjata dan Tunaikan Komitmen Gaza

Türkiye bersama tujuh negara lain mendesak rejim Israel supaya segera melunaskan komitmen tertunggak mereka di bawah fasa pertama pelan damai Gaza.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh menteri-menteri luar daripada lapan negara majoriti Muslim, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Qatar, Mesir, Pakistan, Arab Saudi, Jordan, dan Türkiye. Dalam kenyataan pada hari Selasa itu, barisan menteri melahirkan rasa kebimbangan mendalam terhadap penderitaan kemanusiaan yang berterusan di wilayah terbabit.

“Kami menyeru Israel untuk segera memenuhi komitmen tertunggaknya di bawah Fasa Pertama Pelan Komprehensif, termasuk dengan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan dan bekalan Pemulihan Awal yang segera, selamat dan tanpa halangan, serta memudahkan pemulihan infrastruktur kritikal,” jelas kenyataan bersama tersebut.

Selain itu, menteri-menteri luar berkenaan turut mengutuk langkah-langkah haram Israel yang didapati bertujuan memperkukuh kawalan serta pengilhakan wilayah, di samping menegaskan kepentingan mendesak untuk mengekalkan gencatan senjata dan menghentikan segala bentuk pelanggaran.

Kegagalan Israel Patuhi Perjanjian Gencatan Senjata

Tuntutan sebulat suara ini susulan pelbagai laporan yang mengesahkan bahawa Israel gagal mematuhi kewajipan mereka di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025, termasuk membenarkan kemasukan kuantiti bahan api dan bantuan kemanusiaan yang dipersetujui. Israel turut dilaporkan terus melancarkan serangan maut hampir setiap hari di Gaza meskipun gencatan senjata telah dimeterai.

Konflik berpanjangan sejak 8 Oktober 2023 itu telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain, manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur di Semenanjung Gaza telah musnah atau rosak teruk.

Sumber: Agensi Anadolu (AA) via TRT World

Related Articles

Back to top button