PalestinSemasa

Benteng Berpasir Runtuh Menimpa Khemah Pelarian di Gaza: 5 Terkorban, Termasuk 3 Kanak-kanak

Tragedi kemanusiaan di Gaza semakin memilukan apabila lima rakyat Palestin termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita maut selepas sebuah benteng berpasir runtuh dan menimbus khemah-khemah pelarian di Deir al-Balah berikutan hujan lebat.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal mengesahkan bahawa gundukan tanah pasir yang runtuh di pusat perlindungan selatan Deir al-Balah itu telah menghempas khemah-khemah penempatan sementara. Pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan terpaksa menggali tanah dan mengalihkan batu-batu besar menggunakan penyodok serta peralatan asas untuk mengesan mangsa yang tertimbus.

Pihak Pertahanan Awam turut mengeluarkan amaran tegas menggesa penduduk terlantar agar mengelak daripada mendirikan khemah berhampiran timbunan pasir atau gundukan tanah yang tinggi, terutamanya ketika musim hujan. Agensi tersebut merayu pertubuhan kemanusiaan antarabangsa menyalurkan peralatan penyelamat dan bantuan asas dengan kadar segera.

Kejadian ini menyusul selepas hujan lebat yang melanda sejak Sabtu membanjiri kira-kira 70,000 khemah pelarian di seluruh wilayah tersebut, selain mengakibatkan keruntuhan dinding dan bumbung bangunan rosak yang mencetuskan kecederaan kritikal. Ratusan keluarga terpaksa sehelai sebingkar melarikan diri dari kem-kem di utara dan tengah Gaza selepas tempat perlindungan mereka ditenggelami air.

Meskipun perjanjian gencatan senjata telah dikuatkuasakan sejak 10 Oktober 2025 selepas dua tahun pencerobohan tentera Israel, penderitaan pelarian Gaza terus berlarutan akibat kemusnahan infrastruktur dan sekatan berterusan yang menghalang bekalan perlindungan serta pembinaan semula.

Sumber Maklumat: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button