DuniaSemasa

Presiden Perancis Emmanuel Macron Tiba di Malaysia Mulakan Lawatan Rasmi Dua Hari

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pesawat khas yang membawa Macron bersama isteri, Brigitte Macron, serta anggota delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.10 malam, dan ketibaan beliau disambut oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Sejurus tiba, Macron memeriksa kawalan kehormatan setempat yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja. Majlis sambutan ketibaan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian tradisional, mencerminkan kekayaan serta kepelbagaian warisan budaya negara.

Lawatan atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Pada Selasa, Macron dijadualkan menerima upacara sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebelum meneruskan agenda dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar.

Pertemuan peringkat tertinggi itu dijangka menumpukan kepada usaha menaik taraf hubungan Malaysia–Perancis ke tahap Perkongsian Strategik, sekali gus mencerminkan keutuhan serta kepentingan strategik jalinan kerjasama yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangkumi bidang kerjasama strategik termasuk pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal serta peralihan tenaga, selain Majlis Makan Tengah Hari rasmi yang dihoskan oleh Anwar bagi meraikan pemimpin Perancis itu.

Dari sudut ekonomi, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan Perancis mencecah RM17.78 bilion (AS$4.17 bilion) pada tahun 2025, dengan eksport Malaysia bernilai RM6.05 bilion (AS$1.41 bilion) yang didominasi oleh produk elektrik dan elektronik.

Import Malaysia dari Perancis pula berjumlah RM11.73 bilion (AS$2.76 bilion), sebahagian besarnya melibatkan peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia, menjadikan Perancis sebagai rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global serta keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Related Articles

Back to top button