ADUN Duyong Puji Semangat Aktivis Sumud Nusantara dari MAPIM

AYER KEROH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem hari ini berkongsi kekagumannya terhadap semangat dan dedikasi salah seorang peserta Sumud Nusantara, Zulfadhli Khiruddin.
Zulfadhli yang juga merupakan sukarelawan dari MAPIM Malaysia jelas beliau sentiasa memberikan sokongan padu kepada program-program yang dijalankan di Duyong. Datuk Mohd Noor Helmy, yang juga Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, memuji sifat Zulfadhli sebagai seorang yang ‘tak banyak bunyi’, sentiasa tersenyum dan fokus bekerja.
“Kenal pun memang tak banyak bunyi. Jenis sentiasa senyum dan buat kerja je. Tak sangka hati kering level maulana”, tulis Datuk Mohd Noor Helmy dalam satu hantaran di media sosial yang turut memuatkan foto beliau sedang berinteraksi dengan Zulfadhli.
Beliau turut menekankan kekuatan mental dan kesabaran sukarelawan itu, sambil menyentuh mengenai perkongsian pengalaman yang didengarinya secara peribadi. “Dengar sendiri perkongsian dari mulut beliau. Macam-macam perkara kena lalui dengan sabar. Salute brada!,” tambah beliau.
Perkongsian tersebut juga secara tersirat menyentuh tentang cabaran dan halangan yang mungkin dihadapi dalam kerja sukarelawan dan gerak kerja aktivisme. “Nahlah. Mat ni ‘lalat’ kacau pun dah tak tahan. Tapi tulah. Kene tepuk gak ‘lalat’ ni sebab bising kat telinga ar,” ujar Datuk Mohd Noor Helmy, menunjukkan ketegasan beliau dalam menghadapi kritikan ketika menjalankan tanggungjawab.
Sumud Nusantara, di mana Zulfadhli menjadi salah seorang peserta, dikenali sebagai gerakan kebersamaan serantau di Asia Tenggara yang dibentuk untuk mewakili rantau ini dalam usaha konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotila. MAPIM Malaysia, memainkan peranan penting dalam gerakan ini, termasuk mengetuai Sumud Nusantara Command Center (SNCC) bersama rakan NGO lain iaitu Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia (CSM).
Dedikasi sukarelawan seperti Zulfadhli Khiruddin mencerminkan semangat juang dan keteguhan (yang dipanggil ‘Sumud‘ dalam bahasa Arab) warga Nusantara dalam isu kemanusiaan global dan sokongan di peringkat komuniti tempatan seperti di Duyong.







