Semasa

Agong ziarah makam Nabi Muhammad SAW, Raudhah di Madinah

MADINAH: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi makam junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dan Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah di Arab Saudi pada Khamis.

Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut berkenan menunaikan solat fardu maghrib dan isyak serta solat sunat di perkarangan makam Nabi Muhammad S.A.W.

Tambah kemaskini itu lagi, selesai solat isyak, Seri Paduka disertai Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“(Seri Paduka berdua)… berkenan membaca doa salam dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dengan dipimpin oleh mutawif bagi tetamu negara Sheikh Mustafa Alarabi“, demikian menurut Istana Negara.

Pada catatan itu juga, turut sama berangkat menziarah adalah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut sama mengiringi termasuk paduka-paduka anakanda Seri Paduka.

Seri Paduka berdua dan delegasi dijadualkan berangkat ke Kota Suci Makkah pada Jumaat (23 Jun) untuk menunaikan ibadah Haji.

Difahamkan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai untuk menunaikan ibadah Haji.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.

BACA JUGA
Ibadah korban MAPIM manfaat 6,000 keluarga

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button