PalestinSemasa

Ahli Parti Buruh UK Undi Iktiraf Serangan Gaza Sebagai Pembunuhan Beramai-Ramai

Parti Buruh Britain meluluskan satu usul pada persidangan tahunannya di Liverpool yang mengiktiraf serangan Israel ke atas Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai, selari dengan kesimpulan Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usul bertajuk “Keamanan di Timur Tengah 2” itu menyatakan bahawa pihak berkuasa dan pasukan keselamatan Israel telah melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza. Antara langkah yang digariskan ialah menggantung perdagangan senjata dengan Israel, membekukan perjanjian perdagangan UK-Israel, serta menggunakan “semua cara munasabah” bagi menghalang pelakuan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Usul tersebut dicadangkan oleh Unison, salah satu kesatuan sekerja terbesar di negara itu, dan diluluskan oleh majoriti perwakilan parti.

Namun begitu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, bersama barisan menterinya menolak untuk mengisytiharkan bahawa pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di Gaza. Beliau menegaskan perkara itu adalah urusan mahkamah antarabangsa dan bukannya keputusan eksekutif kerajaan.

Kerajaan UK sebelum ini menyatakan pendirian bahawa ia “belum membuat kesimpulan bahawa Israel bertindak dengan niat genosid”, walaupun laporan Suruhanjaya Siasatan PBB pada 16 September lalu mendapati terdapat alasan munasabah untuk mengatakan empat daripada lima tindakan pembunuhan beramai-ramai yang ditakrifkan di bawah undang-undang antarabangsa telah dilakukan sejak Oktober 2023.

Menurut data terkini, lebih 66,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Pengeboman berterusan telah memusnahkan kawasan kediaman, menyebabkan kebuluran, penularan penyakit, serta pemindahan paksa hampir keseluruhan penduduk Gaza.

Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) turut mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah haram, dan menggesa pemindahan semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.

Keputusan Parti Buruh ini dijangka meningkatkan tekanan politik dalaman terhadap kerajaan UK, selain menguatkan lagi seruan antarabangsa untuk menamatkan serangan kejam Israel ke atas Gaza.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button