DomestikSemasa

AirBorneo Sasar Mula Operasi Ke Semenanjung Tahun Ini, Tembusi Pasaran ASEAN Menjelang 2027

Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo, menyasarkan untuk memulakan operasi penerbangan komersial menghubungkan Malaysia Timur dengan Semenanjung Malaysia pada tahun ini, sebelum melebarkan sayap ke destinasi serantau Asia Tenggara bermula tahun 2027.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelan pengembangan laluan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada ketersediaan pesawat baharu, pematuhan regulatori serta kelulusan lembaga pengarah syarikat.

“Setakat ini, AirBorneo masih beroperasi di Sarawak, Sabah, dan Labuan bagi meneruskan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings. Apabila pesawat bersaiz lebih besar atau jet tiba nanti, fokus utama kami adalah untuk menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, termasuk laluan utama ke Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat pengurusan AirBorneo hari ini.

Menurut Abdul Karim, AirBorneo kini mengoperasikan lapan pesawat jenis ATR dan enam Twin Otter yang sesuai untuk jarak dekat. Namun, bagi merealisasikan laluan jarak jauh, syarikat sedang merancang perolehan sekurang-kurangnya tiga pesawat jet dalam tempoh setahun akan datang.

Mengenai perancangan jangka panjang, beliau memaklumkan bahawa AirBorneo berpotensi memulakan penerbangan ke destinasi antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Singapura, dan Filipina mulai 2027. Beliau turut menegaskan bahawa AirBorneo diposisikan sebagai infrastruktur strategik negeri di mana kejayaannya diukur melalui impak ekonomi dan pelancongan, bukan sekadar keuntungan semata-mata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, pihak pengurusan kini di peringkat akhir memuktamadkan pelan rangkaian dan armada untuk dibentangkan kepada lembaga pengarah. Fokus utama syarikat adalah untuk memperkukuh keterhubungan serantau dengan menjadikan Sarawak sebagai hab pembangunan.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button