DomestikInspirasiSemasa

Adik jaga diri, mak nak pergi jauh

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang jemaah umrah wanita yang meninggal dunia setelah tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Allahyarham difahamkan baru sahaja mendarat di tanah air selepas selesai menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah. Rata-rata warganet berasa simpati dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.

Menurut anaknya, Muhamad Norikhmal Ahmad, 21 yang merupakan anak bongsu daripada lima orang adik beradik yang turut menceritakan mengenai sifat ibunya seorang yang penyabar, taat pada suami, seorang yang ceria dan sangat mengambil berat mengenai anak-anak.

“Mak seorang yang sangat mengambil berat tentang anak-anak. Walaupun adik-beradik saya tidak duduk bersama mak dan abah, tetapi mak akan sentiasa berhubung dengan kami pada waktu pagi, tengahari, petang dan malam. Setiap hari mak takkan lupa untuk berhubung dengan kami adik beradik,” katanya dalam temubual bersama pihak UMMAHToday.

Tambahnya lagi, ibadah umrah ini merupakan salah satu impian arwah emaknya untuk ke Tanah Suci Mekah.

Norikhmal turut menceritakan sebelum arwah emaknya pulang ke tanah air, dia bermimpi bertemu dengan emaknya.

“Sebelum mak balik sini, saya mimpi mengenai mak dalam mimpi tersebut mak cakap, ‘adik jaga diri, mak nak pergi jauh’.

“Sambil saya mimpi, saya bangun air mata dah mengalir,” katanya.

Biarpun sekadar mimpi, detik indah itu merupakan perkara yang paling dirindui olehnya. Beliau juga menyatakan, arwah emaknya tidak mempunyai sebarang penyakit.

Pihak UMMAHToday turut berkesempatan untuk menanyakan mengenai keadaan ayahnya selepas ketiadaan isteri tercinta.

“Alhamdulillah, ayah cuba untuk terima kenyataan, cuma apabila sedih ayah turut menangis. Kita sebagai anak rasa sedih kehilangan emak, apatah lagi seorang suami yang mungkin 10 kali ganda bersedih kehilangan isteri.

“Kami adik-beradik perlu reda atas pemergian emak yang meninggal pada hari Jumaat dan baru pulang dari umrah. Sedih memang sedih, tapi kami cuba kuat untk abah kami,” katanya.

Menurutnya lagi, dia turut berterima kasih kepada juruterbang dan kakitangan KLIA yang sudi membantu dan menjaga arwah emaknya ketika di sana.

“Alhamdulillah, mak dah tenang dekat sana. Insya-Allah,” katanya.

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button