SemasaSukan

Anak Penoreh Getah Pasang Impian Sejajar Abdul Latif Romly

Membesar dalam keluarga penoreh getah di Pauh, Perlis tidak pernah mematahkan semangat atlet olahraga pekak negara, Zaiman Megat Abu, 24, untuk mengejar cita-cita mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Atlet lompat kijang itu kini meletakkan sasaran tinggi untuk berdiri sebaris dengan ikon Paralimpik negara Datuk Abdul Latif Romly yang juga rakan latihannya, dengan misi meraih kejayaan di Deaflympics Tokyo 2025, kejohanan tertinggi sukan orang pekak.

Zaiman, yang kehilangan pendengaran sejak usia dua tahun, mula serius dalam bidang olahraga pada umur 17 tahun apabila bakatnya dikesan jurulatih berpengalaman Sanusi Zainal Abidin, individu sama yang pernah membimbing Abdul Latif.

“Jurulatih selalu kata saya boleh jadi seperti Abdul Latif. Kata-kata itu jadi pegangan saya sampai sekarang,” katanya kepada Bernama menjelang Sukan SEA Pekak 2025 yang akan berlangsung di Jakarta esok.

Sebagai penghormatan, Zaiman turut diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan, sekali gus menguatkan tekadnya untuk menghadiahkan emas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Sanusi pula menyifatkan anak didiknya itu sebagai luar biasa kerana komitmen tinggi dan disiplin latihan yang jarang ditemui, meskipun datang daripada keluarga susah dan tanpa asas bahasa isyarat.

Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran 16 pingat emas pada temasya edisi kali ini untuk mengekalkan kejuaraan selepas edisi sulung di Kuala Lumpur 2022.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button