Nahas pesawat di Elmina: Henti kongsi gambar & video elak tindakan undang-undang
CYBERJAYA: Tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang berkongsi (forwarding) foto atau video mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada petang Khamis.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata pihak yang melakukan perkongsian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, juga melibatkan maruahnya. Sabda Nabi S.A.W:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap Muslim ke atas muslim… https://t.co/vU05YPGI85— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) August 17, 2023
“Perkongsian gambar atau rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas“, tegas MCMC yang turut menggesa semua pihak untuk menjaga sensitiviti serta mengelak daripada berkongsi gambar mangsa nahas.
Menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas pesawat itu, MCMC berkata semua pihak diminta membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.
Pada petang Khamis, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.
Susulan itu, media sosial dan aplikasi permesejan dihujani pelbagai perkongsian video di lokasi berkenaan serta imej mangsa yang dirakamkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak berkuasa di tempat kejadian.
BACA JUGA
Nahas pesawat di Elmina: MAPIM rakam ucapan takziah