Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengimbau kembali perjalanan panjang gelombang perjuangan reformasi bersama para perintis dan sahabat lama yang telah melalui pelbagai cabaran, liku, serta pengorbanan.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar menegaskan bahawa beliau dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tidak pernah melupakan jasa serta pengorbanan mereka yang bersama-sama memperjuangkan agenda perubahan berkenaan.
“Mana mungkin saya dan Azizah melupakan jasa dan pengorbanan setiap daripada mereka kerana tanpa kekuatan, keberanian, dan semangat juang kalian, tidak mungkin saya berdiri di sini hari ini memikul amanah sebagai Perdana Menteri,” kata beliau.
Kenyataan tersebut dibuat bersempena kehadiran beliau ke Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), Shah Alam.
Perjuangan Belum Selesai dan Amanah Kepada Generasi Muda
Anwar menekankan bahawa perjuangan membawa perubahan hakikatnya masih belum selesai dan memerlukan semangat yang sentiasa digilap. Beliau menyeru agar kekuatan gabungan perjuangan itu dihimpunkan semula serta diwariskan kepada anak-anak, keluarga, sahabat, dan generasi akan datang.
“Usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan, tetapi semangat jangan sesekali pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita, namun kita juga tahu bagaimana untuk bangkit semula. Lawan tetap lawan,” tegas beliau.
Sumber: BERNAMA







