DomestikSemasa

APM Pahang lancar pasukan keselamatan nature lifeguard pertama di Malaysia

KUALA TAHAN : Keselamatan nyawa menjadi keutamaan buat Angkatan Pertahanan Awam (APM) tidak kira di mana mangsa berada.

Oleh yang demikian, APM Negeri Pahang telah melancarkan satu inisiatif baru dengan menubuhkan pasukan penyelamat Nature Lifeguard dalam sebuah majlis pelancarannya yang diadakan di jeti Kuala Tahan semalam.

Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Dato’ Sri Haji Sh Mohmed Puzi Sh Ali memuji penubuhan pasukan ini dalam memastikan kesalamatan pelancong yang datang ke Kuala Tahan ini yang merupakan destinasi pelancongan alam semulajadi yang utama di negeri ini.

“Saya amat menyokong usaha dari pihak APM ini kerana ia dapat menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan serta memberikan tanda ingatan kepada pelancong luar bahawa keselamatan mereka sentiasa terjaga apabila datang melawat ke kawasan ini. Malah, saya sedia maklum bahawa ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang turut membantu dari segi menyediakan asset bot kepada APM Pahang bagi melancarkan gerak kerja nature lifeguard,” katanya.

Menurut pengarahnya, Yang Setia Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, objektif penubuhan pasukan tersebut adalah bagi memantapkan pengurusan bencana dan kecemasan di peringkat komuniti khasnya Taman Negara Pahang Kuala Tahan.

“Inisiatif ini juga ditubuhkan untuk memberikan tindak balas awal dalam sebarang kejadian bencana dan kecemasan, seterusnya memenuhi hasrat dalam kesiapsagaan awam terhadap pengurusan kecemasan dan bencana. Sejarah APM bakal tercipta dengan penubuhan pasukan nature lifeguard yang pertama kali dilancarkan di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Nature Lifeguard APM Kuala Tahan semalam.

Dalam pada itu, anggota pasukan nature lifeguard ini kebanyakannya mereka yang terdiri daripada penduduk asal dari kaum Batek dan mereka sudah mahir mengenai selok-belok kawasan di sini.

Pasukan ini juga telah dilengkapkan dengan peralatan menyelamat serta kemahiran menolong seperti asas pertolongan cemas, asas renang, asas menyelamat di air, search and rescue serta berkemahiran mengendalikan bot.

Related Articles

Back to top button