DuniaSemasa

Arab Saudi lantik Duta pertama ke Palestin

Duta itu dilantik ditengah-tengah perbincangan mengenai normalisasi israel

AMMAN: Arab Saudi telah melantik duta pertamanya ke Palestin, dalam satu langkah yang dibuat di tengah-tengah perbincangan dengan Amerika Syarikat mengenai kemungkinan perjanjian untuk menormalkan hubungan antara kerajaan Teluk dan israel.

Sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin, Arab Saudi menamakan dutanya ke Jordan, Naif bin Bandar Al-Sudairi, sebagai ‘Duta bukan pemastautin ke Negara Palestin dan Konsul Jeneral di Baitulmaqdis’.

Penasihat diplomatik kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Majdi Khalidi (kanan) duduk bersama utusan baharu Saudi ke Palestin, Naif bin Bandar Al-Sudairi (kiri, sebelah bendera Arab Saudi) semasa majlis pada Sabtu di Jordan

Satu majlis berlangsung pada Sabtu di ibu negara Jordan, Amman, di mana penasihat diplomatik Presiden  Palestin Mahmoud Abbas menerima tauliah Al-Sudairi, lapor agensi berita Saudi (SPA).

Pihak Berkuasa Palestin mengalu-alukan pelantikan itu, mengatakan bahawa “keputusan itu tepat pada masanya dan mencerminkan Kerajaan Arab Saudi memandang penting persaudaraan dalam perjuangan Palestin,” kata Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin dalam satu kenyataan Ahad.

Menteri Luar israel, Eli Cohen memberitahu stesen radio 103 FM Tel Aviv Ahad bahawa israel mengetahui pelantikan yang dirancang Arab Saudi, tetapi kerajaan itu tidak berkoordinasi dengan israel mengenai perkara itu.

“Mereka tidak berkoordinasi dengan kami dan mereka tidak perlu berkoordinasi dengan kami,” kata Cohen, sambil menambah bahawa pelantikan duta Arab Saudi dibuat di tengah-tengah ‘kemajuan rundingan antara Amerika dan Saudi mengenai israel”.

“Orang Saudi mahu menghantar mesej kepada rakyat Palestin bahawa mereka tidak melupakan mereka,” kata Cohen.

Pegawai israel bagaimanapun menambah bahawa israel tidak akan membenarkan pembukaan sebarang perwakilan diplomatik untuk Palestin di Baitulmaqdis.

Kerajaan haram israel menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB tidak mengiktirafnya. Rakyat Palestin berpendapat bahawa bahagian timur kota itu harus berfungsi sebagai ibu kota masa depan sebuah negara Palestin. Amerika mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara israel pada 2017 di bawah Presiden Donald Trump ketika itu, keputusan yang ditentang keras oleh rakyat Palestin.

Ini adalah pelantikan duta pertama Arab Saudi ke Pihak Berkuasa Palestin. Kerajaan itu mempunyai hubungan diplomatik dengan Palestin, tetapi tahap perwakilan dan sifat hubungan antara kedua-duanya berubah dari semasa ke semasa.

Semua anggota blok Arab, termasuk Arab Saudi, mengiktiraf kenegaraan Palestin dan kerajaan itu mengekalkan kedutaan Palestin di ibu kota Riyadh.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button