Sebanyak 14ribu Al-Quran tanpa perakuan KDN ditukar
IPOH: Sebanyak 14,000 naskah Al-Quran tanpa perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah ditukar melalui kempen Jom Exchange Al Quran (JEQ).
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata ia susulan kempen berterusan yang dijalankan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Melalui kempen ini ia memberi peluang kepada masyarakat Islam yang memiliki Al-Quran tidak diluluskan KDN tampil menukar Al-Quran yang diluluskan secara percuma di pejabat KDN negeri, Al-Quran yang rosak juga boleh ditukar dengan yang baharu.
“Kita akan cuba kesan seberapa banyak Al-Quran yang tidak ada kelulusan KDN dan Al-Quran berkenaan boleh ditukar dengan baharu yang ada perakuan KDN dalam misi Ke Arah Sifar Al-Quran Tiada Perakuan KDN“, katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Seminar Penerbitan Teks Al-Quran dan Rasm Uthmani 2023 di Mess Pegawai Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.
Turut hadir Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim merangkap Ahli Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran (LPPPQ) KDN dan Komander Briged Utara PGA Nordin Manan.
Nik Yusaimi berkata KDN sentiasa memantau dan pihaknya memandang serius kegiatan menjual al-Quran tanpa kelulusan KDN untuk kegunaan masyarakat Islam di negara ini.
Kita menyeru masyarakat agar tidak membeli atau membaca teks Al-Quran yang dicetak tanpa perakuan pihak berkuasa bagi mengelakkan unsur syubhah di dalam bacaan.
“Belilah teks Al-Quran yang mempunyai cop perakuan dan pelekat hologram perakuan daripada KDN kerana semakan telah dijalankan individu pakar terdiri daripada ahli Lajnah Tasheh dilantik KDN bagi menyemak sebelum mendapat kelulusan LPPPQ”, katanya.
Katanya teks Al-Quran yang tidak diperakui itu dikhuatiri boleh mengubah maksud asal berikutan menggunakan gaya penulisan selain Rasm Uthmani yang digunakan di Malaysia.
“Kita tidak halang penerbitan Al-Quran atau penjual yang membawa masuk teks dari negara luar seperti dari Timur Tengah, Indonesia dan lain-lain negara tetapi mereka perlu menghantar dahulu untuk disemak sebelum diberi kelulusan cetakan kerana kita khuatir ia tidak mengikuti garis panduan Uthmani“.
“Antara kesalahan-kesalahan lazim yang dikesan semasa semakan dibuat ialah ayat tidak sempurna, kesilapan pada titik dan tanda baris, nama surah dan juzuk tidak jelas, nombor ayat hilang dan lain-lain lagi”, katanya.
BACA JUGA
MAPIM anjur program ‘healing’ melalui Majlis Ummah Berselawat