Semasa

AS akui serangan dron di Kabul adalah satu ‘kesilapan tragis’

WASHINGTON : Komander tentera Amerika Syarikat (AS), Jeneral Kenneth McKenzie mengakui serangan dron ke atas Kabul yang mengorbankan 10 orang awam termasuk tujuh kanak-kanak adalah satu “kesilapan tragis”.

Menurut McKenzie, tiada bukti yang mengaitkan mereka yang terkorban dalam serangan 29 Ogos itu berhubung kait dengan kumpulan pengganas Daesh, yang merupakan ancaman kepada tentera AS.

“Serangan tersebut adalah bagi mengelak ancaman kepada tentera dan pelarian di lapangan terbang. Namun, ia merupakan satu kesilapan dan saya memohon maaf.

“Sebagai komander pasukan, saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas serangan ini dan akibatnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dan memaklumkan Pentagon sedang mempertimbangkan pemberian pampasan.

Sebelum serangan itu, tentera AS mengesan sebuah kenderaan Toyota putih yang berlegar di kawasan lapangan terbang selama lapan jam dan melihat beberapa individu membawa masuk barangan ke dalam kenderaan itu yang disangka bahan letupan.

Walau bagaimanapun, risikan oleh akhbar New York Times mendapati ia sebenarnya adalah air minuman.

Pemandu kenderaan tersebut ialah Zemerai Ahmadi, 37, yang bekerja untuk organisasi bukan kerajaan, Nutrisi dan Pendidikan Antarabangsa.

Zemerai bersama lapan anak dan seorang saudaranya terbunuh dalam serangan itu.

“Kami mendapat tahu bahawa Zemerai tidak mempunyai pertalian atau kaitan dengan Daesh.

“Kami memohon maaf dan akan menanggung kesilapan yang teruk ini,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin.

– AGENSI

Related Articles

Back to top button