Selepas melakar kejayaan merangkul rekod dunia ketiga menerusi acara kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam, atlet kecergasan negara, K Jey Prabakaran Thevar, kini mengalihkan fokus untuk menempa nama dalam Asia Book of Records.
Atlet yang lebih dikenali sebagai Dr Kjey berkata, usaha itu merupakan peningkatan daripada pencapaian rekod Malaysian Book of Records (MBOR) yang diraihnya sempena Hari Sukan Negara tahun lepas. Menerusi cabaran terdahulu, beliau menyempurnakan aktiviti leg extension, squat, dan jumping jacks sebanyak 3,000 kali setiap satu.
“Semasa rekod MBOR, saya melakukan ketiga-tiga cabaran itu dalam tempoh dua hari, iaitu squat dan jumping jacks pada hari pertama, manakala leg extension pada hari berikutnya.
“Kali ini, saya akan melakukan ketiga-tiga cabaran berkenaan dalam satu hari dalam tempoh kira-kira lima jam bagi mencipta rekod peringkat Asia,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Percubaan bersejarah itu dijadualkan berlangsung di Nethaji Hall, Kuala Lumpur pada 1 November ini.
Selain rekod MBOR yang dipecahkan pada Jun lepas, atlet berusia 29 tahun itu turut memegang rekod di bawah Guinness World Records (GWR) serta Influencer Book of World Records.
Anak jati Kuala Lipis itu menjelaskan bahawa inisiatif mencipta rekod baharu ini bukan sekadar untuk mengejar pencapaian peribadi, sebaliknya bertujuan menjadi pembakar semangat kepada golongan muda agar lebih aktif dalam bidang kecergasan.
Sebagai Presiden Pertubuhan Kecergasan Malaysia India (MIFIT), beliau berasa bertanggungjawab untuk memimpin melalui teladan serta menggalakkan lebih ramai penyertaan anak muda dalam program kecergasan yang dianjurkan persatuan.
“Sebagai seorang presiden, saya perlu melakukan sesuatu untuk memberikan motivasi kepada lebih ramai golongan muda supaya menyertai MIFIT dan aktif dalam program-program kecergasan. Sebagai atlet pula, saya mempunyai keyakinan untuk mencipta lebih banyak rekod pada masa akan datang,” ujarnya.
MIFIT kini mempunyai lebih 400 ahli di seluruh Malaysia dengan cawangan di Perak, Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor, selain merancang untuk membuka cawangan baharu di Pulau Pinang dengan sasaran keseluruhan 1,000 ahli di peringkat nasional.
Mengenai persiapannya, Dr Kjey memaklumkan tahap kecergasan fizikalnya berada pada tahap optimum, manakala aspek jadual latihan, pemakanan, dan rehat diselia rapi oleh jurulatihnya, Mohd Shazwan Mohd Luthfi Ismail.
“Persiapan kali ini lebih mudah kerana saya sudah mempunyai pengalaman melakukan beberapa percubaan rekod sebelum ini. Jadi, kami yakin dapat mencipta satu lagi rekod,” katanya yang turut merancang pelbagai cabaran latihan lain pada masa hadapan seperti back row, chest press, dan bench press.
(Sumber: BERNAMA)






