
Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Puan Sri Salwani Anuar @ Kamaruddin, akan didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan kes pengubahan wang haram.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hafizuddeain akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi, manakala pertuduhan terhadap Salwani akan dikendalikan di hadapan Hakim Rosli Ahmad pada jam 9 pagi ini.
Pasangan itu tiba secara berasingan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 8.10 pagi. Salwani dilihat diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan keadaan berkerusi roda.
Siri Pertuduhan Mengikut AMLATFPUAA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua tertuduh masing-masing berhadapan dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Selain pendakwaan di Kuala Lumpur, bekas pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 58 tahun itu turut dijadualkan menghadapi dua lagi pertuduhan di bawah akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat ini. Manakala isterinya pula bakal didakwa dengan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.
Ops Parasit dan Penyelewengan Tender
Kes berprofil tinggi ini merupakan hasil daripada ‘Ops Parasit’ yang dijalankan oleh SPRM. Siasatan telah dimulakan sejak 7 Oktober 2025 melibatkan projek perolehan tender Tentera Darat serta dakwaan penyalahgunaan dana awam.
Siasatan awal terhadap beberapa projek Kementerian Pertahanan bermula pada Disember tahun lalu, di mana pasukan penyiasat telah hadir ke kementerian berkenaan bagi meneliti dokumen berkaitan projek sejak tahun 2023.
Terdahulu, media melaporkan seramai 23 individu, termasuk pegawai-pegawai tinggi dan kanan ATM, telah ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) serta kementerian berkaitan.
Sumber: BERNAMA







