DuniaSemasa

Bekas Wanita Pertama Korea Selatan Disiasat Berhubung 16 Tuduhan Jenayah

Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee, hadir di pejabat Pendakwa Khas Min Joong-ki hari ini bagi membantu siasatan berhubung 16 tuduhan jenayah termasuk manipulasi saham, campur tangan pilihan raya dan penerimaan hadiah mewah.

Kim, isteri kepada bekas Presiden Yoon Suk Yeol yang kini dipenjara, tiba lewat di pejabat pendakwa khas itu untuk sesi soal siasat berkaitan dakwaan pembabitan dalam manipulasi harga saham Deutsch Motors, pengedar rasmi BMW di Korea Selatan, antara 2009 hingga 2012.

Beliau turut disyaki campur tangan dalam proses pencalonan pilihan raya kecil Parlimen pada 2022 serta pilihan raya umum 2024, selain menerima hadiah mewah daripada Unification Church melalui seorang bomoh sebagai pertukaran bantuan urusan perniagaan.

Menurut pendakwa, siasatan lanjut mungkin memerlukan Kim dipanggil semula pada tarikh lain.

Kes seumpama ini pernah melibatkan isteri bekas presiden Korea Selatan sebelum ini, termasuk Lee Soon Ja pada 2004 yang disoal siasat dalam kes dana rahsia, dan Kwon Yang Sook pada 2009 sebagai saksi kes rasuah.

— BERNAMA-YONHAP

Related Articles

Back to top button