
Kelulusan Belanjawan 2027 oleh Dewan Rakyat semalam menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk mengangkat kualiti kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata belanjawan itu turut merangkumi strategi ampuh untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjamin masa depan negara yang lebih gemilang.
“Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera,” kata beliau.
Dewan Rakyat semalam telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027, yang sebelum ini dibentangkan oleh Anwar pada 9 Oktober lepas.
Bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama yang merangkumi komitmen penuh untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, di samping agenda memperkukuh daya tahan serta masa depan negara.
Belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI ini membabitkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion. Ia turut disokong oleh pelaburan bernilai RM25 bilion daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta, serta RM14.2 bilion pelaburan daripada Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).
Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang dengan nilai keseluruhan mencecah RM510 bilion.
Sumber: BERNAMA







