PalestinSemasa

Belgium, Malta, Andorra, Monaco dan Luxembourg Ikut Jejak Perancis, Ikhtiraf Negara Palestin di PBB

Gelombang pengiktirafan terhadap Palestin semakin meluas apabila Belgium, Malta, Andorra, Monaco dan Luxembourg secara rasmi mengisytiharkan pengiktirafan mereka terhadap negara Palestin pada satu mesyuarat khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Pengumuman itu dibuat pada persidangan mengenai Palestin dan penyelesaian dua negara, sehari sebelum Perhimpunan Agung PBB bermula. Ia disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan, sekali gus dianggap sebagai dorongan besar kepada perjuangan kenegaraan Palestin.

“Pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan kami kepada keamanan, keadilan dan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri,” kata Perdana Menteri Malta. Perdana Menteri Luxembourg pula menyifatkannya sebagai “keputusan bersejarah,” manakala Belgium menegaskan langkah itu selari dengan pendirian lama mereka menyokong penyelesaian dua negara.

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengisytiharkan pengiktirafan rasmi negaranya terhadap Palestin dalam mesyuarat sama. Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan serantau. “Masanya telah tiba untuk menghentikan peperangan, pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Tiada apa yang boleh mewajarkan perang berterusan ini,” tegas Macron.

Pengiktirafan terbaharu ini menambah momentum antarabangsa selepas beberapa negara lain termasuk Australia, Kanada, Portugal, San Marino dan United Kingdom turut mengumumkan langkah sama baru-baru ini. Sidang kemuncak itu dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, namun tidak dihadiri Israel dan Amerika Syarikat yang membantah keras inisiatif tersebut.

Penganalisis antarabangsa menilai perkembangan ini sebagai kejayaan diplomatik besar bagi Palestin, dengan konsensus global semakin kukuh untuk menamatkan konflik dan membuka jalan kepada penyelesaian politik yang berkekalan.

Sumber: TRT World

Related Articles

Back to top button