
Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang membolehkan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula hari ini, merupakan tanda pengiktirafan kerajaan terhadap pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bukan sahaja menunaikan janji kerajaan untuk menurunkan harga minyak, malah membuktikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan dalam kerangka dasar MADANI.
“Negara ini aman dan selamat kerana adanya pengorbanan pasukan keselamatan. Bila aman, pelabur dan pelancong datang. Sebab itu kerajaan mulakan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 dengan polis dan tentera,” katanya ketika berucap pada Sambutan 27 Tahun Reformasi di Ibu Pejabat PKR Melaka, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
Bermula tengah malam tadi, seramai 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi kumpulan pertama menikmati subsidi petrol pada harga RM1.99 seliter, selaras pengumuman Perdana Menteri pada 22 Sept lalu.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan dasar ekonomi negara perlu diseimbangkan dengan kebajikan rakyat dan tidak hanya berlandaskan teori ekonomi semata-mata.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif kebajikan telah dilaksanakan termasuk penyaluran puluhan bilion ringgit melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta kenaikan gaji penjawat awam secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Perjuangan kita bukan retorik. Reformasi mesti dizahirkan dengan tindakan nyata membantu rakyat miskin, meningkatkan taraf hidup dan memastikan kekayaan negara diagih secara adil,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan kejayaan negara tidak hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, sebaliknya pada keupayaan membina masyarakat yang bersatu padu, berakhlak dan berintegriti.
— BERNAMA