
Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan tiga sukan baharu iaitu petanque, Muay Thai dan silambam untuk dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA 2026, Mohd Najwan Halimi, berkata cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam masa terdekat bagi memenuhi tarikh akhir penetapan acara pada atau sebelum 15 Ogos.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada beberapa persatuan sukan kebangsaan dan negeri yang mahu pihak penganjur mempertimbangkan semula senarai sukan tambahan.
“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini bersetuju agar sekretariat mengemukakan cadangan penambahan tiga sukan berkenaan kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan menyeru agar semua pihak menghentikan tindakan mempolitikkan sukan dan memainkan sentimen perkauman sempit, sebaliknya menjadikan temasya dwitahunan itu medan perpaduan dan semangat kesukanan sejati.
Sementara itu, beliau memaklumkan sukan pickleball tidak dimasukkan dalam senarai kerana masih baharu dan belum dipertandingkan di peringkat sekolah atau majlis sukan negeri.
Pada 5 Ogos lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memutuskan tinju dan sofbol sebagai sukan wajib serta meluluskan empat sukan tambahan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabadi, menjadikan 34 jenis sukan dipertandingkan.
Cadangan Selangor menambah tiga lagi sukan ini bakal meningkatkan jumlah keseluruhan acara sekiranya diluluskan pada mesyuarat akan datang.






