DuniaSemasa

Caracas Bergolak: Rakyat Bantah Penculikan Maduro, Kerajaan Tegaskan Venezuela Tidak Diperintah Kuasa Asing

Ribuan rakyat Venezuela membanjiri jalan-jalan raya di ibu kota Caracas dalam satu perhimpunan raksasa bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Presiden Nicolás Maduro yang didakwa diculik oleh Amerika Syarikat. Suasana yang sebelum ini sunyi akibat ketakutan pasca-insiden Sabtu lalu kini bertukar menjadi lautan manusia yang mengibarkan bendera kebangsaan sambil melaungkan lagu patriotik, menolak sekeras-kerasnya ikrar Presiden AS Donald Trump untuk “mentadbir” negara Amerika Latin tersebut sementara menunggu peralihan kuasa.

Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez dalam ucapan tegas yang disiarkan di televisyen menolak campur tangan Washington dengan menegaskan bahawa kerajaan Venezuela kekal berdaulat dan tiada entiti atau ejen asing yang mengawal negara itu. Turut kelihatan di lapangan adalah Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello yang juga dinamakan dalam dakwaan AS, berarak bersama penyokong sambil memakai topi tertera slogan “ragu-ragu adalah mengkhianati” sebagai simbol penentangan terhadap naratif asing.

Pihak berkuasa Caracas dan Havana mendedahkan bahawa serangan mengejut pada 3 Januari itu, yang melibatkan pengeboman sasaran tentera dan pendaratan helikopter pasukan khas AS, telah mengorbankan 55 nyawa anggota keselamatan. Jumlah tersebut merangkumi 23 anggota tentera Venezuela dan 32 anggota keselamatan Cuba, termasuk pegawai berpangkat tinggi yang bertugas sebagai pengawal peribadi Maduro. Maduro dan isterinya, Cilia Flores, kini dilaporkan telah dibawa ke New York dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengedaran dadah di mahkamah AS.

Pentadbiran Trump mempertahankan campur tangan drastik tersebut sebagai kebangkitan semula “Doktrin Monroe” bagi mengukuhkan pengaruh ke atas rizab minyak terbesar dunia milik Venezuela. Walaupun sektor minyak negara itu kini lumpuh dengan eksport jatuh mendadak akibat sekatan dan kekurangan pelaburan, Washington menolak pandangan penganalisis dan mendakwa pengeluaran minyak mentah boleh ditingkatkan dengan pantas di bawah kawalan baharu.

Sumber: TRT World dan Agensi

Related Articles

Back to top button