SemasaSyariah

Cari penyelesaian isu tempoh perbicaraan di Mahkamah Syariah – Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa yang menjalankan undang-undang syariah perlu mencari jalan penyelesaian dalam usaha memendekkan tempoh perbicaraan membabitkan kes-kes di Mahkamah Syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata ia susulan kebimbangan berlakunya kezaliman antara pihak-pihak terlibat akibat tempoh menunggu yang lama bagi sesuatu kes itu untuk diselesaikan.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah, peguam-peguam syarie perlu mencari idea bagaimana nak pastikan tempoh penyelesaian sesuatu kes dapat dipendekkan,” katanya selepas melancarkan Program Konsultasi Syarie Secara Percuma Sempena Ramadan 1444H di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Sekadar foto hiasan dari arkib JAKESS

Katanya selagi kes-kes itu berpanjangan, ia akan menyebabkan berlaku kezaliman kepada mereka yang terlibat, sehubungan itu pihak berkaitan perlu bijak dalam mengimbangkan bagaimana cara untuk mencepatkan kes tetapi dalam masa sama tidak memprejudiskan isu keadilan.

Sementara itu merujuk kepada isu mengenai garis panduan bagi ahli politik berceramah di masjid, Dr Mohd Na’im berkata perkara itu adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri, manakala di peringkat Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya berperanan untuk menyelaras.

Beliau berkata di peringkat persekutuan sebagai agensi penyelaras, pihaknya akan sentiasa cuba membuat panduan itu namun keputusannya terserah kepada kerajaan-kerajaan negeri.

Mengenai pelancaran program konsultasi, Dr Mohd Na’im berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) itu adalah pendekatan terbaik dalam memberi khidmat konsultasi kepada golongan B40 sekali gus, dilihat mampu mengurangkan risiko peningkatan kes perceraian.

Sekadar foto hiasan dari arkib JAKESS

Katanya program itu juga bertujuan untuk memastikan semua umat Islam di negara ini mendapat akses kepada keadilan walaupun mereka terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan.

“Ia juga adalah bagi menjalankan sebahagian khidmat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada masyarakat Islam di negara ini, sesuai dengan kepakaran yang dimiliki ahli-ahli PGSM yang merupakan peguam-peguam syarie bertauliah,” katanya.

Program konsultasi itu akan diadakan mulai 27 Mac sehingga 20 April ini bermula dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari pada Isnin hingga Khamis di Bilik Gerakan BAGUS-PGSM di negeri-negeri terlibat, antaranya Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button