Semasa

Ribuan kakitangan Hospital New York dipecat kerana enggan divaksin

NEW YORK : Hospital di New York bertindak memecat ribuan pekerja penjagaan kesihatan kerana tidak mematuhi mandat vaksinasi COVID-19 yang berkuat kuasa kelmarin.

Sehubungan dengan itu, beberapa perkhidmatan yang disediakan di wilayah di beberapa negeri serata Amerika Syarikat (AS) terpaksa dikurangkan kerana kekurangan kakitangan.

Pusat Perubatan Erie County (ECMC) di Buffalo menggantung pembedahan pilihan pesakit dan tidak akan menerima pesakit penjagaan intensif dari hospital lain kerana sekitar 300 pekerja yang enggan divaksin akan dipecat, kata seorang jurucakap.

Syarikat penyedia penjagaan kesihatan terbesar di Barat New York, Catholic Health, pula menangguhkan beberapa pembedahan pilihan, sementara berusaha meningkatkan kadar vaksinasi yang mencecah 90 peratus dalam kalangan pekerjanya setakat tengah hari Ahad lalu.

Jurucakap ECMC, Peter Cutler, berkata keputusan mengurangkan beberapa operasi akan menjejaskan pendapatan hospital kerana pembedahan pilihan bagi pesakit memberi pulangan AS$1 juta (RM4.18 juta) seminggu, selain menyusahkan pesakit.

Sebelum ini, Jabatan kesihatan negeri New York mewajibkan semua pekerja penjagaan kesihatan menerima sekurang-kurangnya suntikan pertama Covid-19 pada atau sebelum 27 September.

Arahan itu mendorong hospital cuba menjalankan inokulasi terhadap seramai kakitangan yang mungkin, namun menghadapi kesukaran akibat kumpulan anti vaksin.

Sementara itu, Gabenor New York, Kathy Hochul, berkata beliau sedang menimbangkan membawa masuk anggota tentera Pengawal Kebangsaan (National Guard) dan pekerja perubatan dari luar negeri untuk memenuhi kekurangan kaki tangan.

“Ini kerana 16 peratus daripada sejumlah 450,000 kakitangan hospital atau anggaran kasar 72,000 pekerja tidak divaksinasi sepenuhnya,” katanya.

Usaha inokulasi itu berlaku ketika kerajaan negeri dan pentadbiran persekutuan mahu menggunakan mandat vaksinasi untuk membantu mengekang jangkitan tinggi akibat virus Corona varian Delta.

Malangnya, ada pekerja yang menolak usaha itu, dengan ramai mengemukakan alasan agama atau hak asasi untuk menolak vaksinasi.

– AGENSI

 

Related Articles

Back to top button