PUTRAJAYA: Kematian sebelum tiba ke hospital (BID) membabitkan kes jangkitan Covid-19 pada 2021 dilaporkan meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 4,856 kes kematian akibat Covid-19 yang direkodkan, 670 daripadanya iala BID.
Katanya, analisa oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan mendapati terdapat kenaikan trend kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh kali ganda dari April (35 kes) sehingga Jun 2021 (246 kes).
“Kebanyakkan kes kes kematian BID dilaporkan daripada lingkungan usia 50 tahun sehingga 70 tahun dengan mencatatkan angka sejumlah 76.7 peratus dengan sekurang-kurangnya satu komorbid 64.5 peratus.
“Tiga negeri merekodkan kes kematian tertinggi BID pada tahun ini iaitu Selangor dengan 181 kes (27 peratus), diikuti Kuala Lumpur 78 kes (11.6 peratus) dan Sabah 85 kes (12.7 peratus),” katanya hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya peka dalam memantau kesihatan kendiri terutama apabila disahkan positif dan menjalani kuarantin di rumah.
Dr Noor Hisham menyarankan orang ramai amalkan beberapa langkah seperti menjalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes positif,Ā amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
“Maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri di aplikasi MySejahtera dan PKD atau CAC berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, segera laporkan sebarang tanda-tanda dan dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan.”
“Tanda amaran merupakan gejala yang memberi petanda bahawa keadaan seseorang pesakit COVID-19 semakin teruk. Antara gejala yang perlu dititik berat ialah demam berpanjangan, kesukaran bernafas, sakit dada, kurang selera makan dan minum, lesu bertambah buruk, perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan.” katanya
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom / AJ