SemasaSukan

Denda FIFA: Wujud Kesilapan Teknikal Penyerahan Dokumen – FAM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut, sambil menegaskan semua pemain yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.

“FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi FAM hari ini.

Jumaat lalu, FAM bersama tujuh pemain berkenaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, FAM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA, sambil menegaskan segala dokumentasi dan prosedur berkaitan telah dikemukakan secara telus mengikut garis panduan yang ditetapkan.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button