PalestinSemasa

Disangka Bendera Palestin, Polis Israel Rampas Bendera Hungary Semasa Bantahan

Pihak polis Israel dilaporkan telah merampas sehelai bendera Hungary daripada seorang penunjuk perasaan antikerajaan di Persimpangan Karkur, utara Israel pada Sabtu, selepas mendakwa ia terlalu menyerupai bendera Palestin dan dikhuatiri boleh mencetuskan provokasi.

Salah faham tersebut berpunca daripada persamaan warna pada kedua-dua bendera. Kedua-dua bendera memaparkan kombinasi warna hijau, putih, dan merah, walaupun susunan warnanya berbeza dan bendera Hungary tidak mempunyai jalur warna hitam.

Menurut laporan akhbar Haaretz, penunjuk perasaan berkenaan telah cuba menjelaskan kepada pihak berkuasa bahawa bendera yang dibawanya adalah bendera negara Hungary. Namun, seorang pegawai polis dilaporkan membalas: “Anda mungkin faham, tetapi orang lain tidak.”

Penunjuk perasaan itu turut menawarkan diri untuk menyimpan semula bendera tersebut di dalam keretanya, namun tawaran itu ditolak. Pegawai polis tersebut tetap merampas bendera berkenaan dan hanya memulangkannya selepas demonstrasi tamat.

Sehingga berita ini ditulis, pihak polis Israel masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi sebagai maklum balas terhadap siasatan yang dilakukan oleh Haaretz.

Insiden ini pantas tular dan mendapat ejekan meluas di platform media sosial X (dahulunya Twitter). Rata-rata pengguna mengecam dan menyindir tindakan polis tersebut, menyifatkan rampasan itu sebagai satu tindakan yang melampau serta menampakkan ketidakcekapan pihak berkuasa Israel dalam membezakan simbol negara.

Lebih menarik, episod ini berlaku pada waktu yang agak sensitif bagi hubungan diplomatik Hungary dan Israel. Hubungan kedua-dua negara kini dilaporkan sedang melalui fasa penilaian semula susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orbán selepas 16 tahun memegang tampuk kepimpinan.

Pengganti beliau, Peter Magyar, baru-baru ini telah memberikan isyarat yang agak bercampur-baur terhadap Israel. Magyar pada awalnya menjemput Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Budapest, namun tidak lama kemudian menyatakan bahawa pihak berkuasa Hungary perlu menahannya jika beliau berkunjung ke negara itu, selaras dengan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pemimpin Israel tersebut.

(Sumber: TRT World dan Agensi)

Related Articles

Back to top button