
LONDON : Pernahkah kita melihat jalan raya tar meleleh seperti coklat? Ini yang terjadi pada jalan raya di Britain akibat suhu yang mencecah 30 celcius.
Pihak berkuasa tempatan terpaksa membaiki segera permukaan jalan yang rosak kerana panas. Ia fenomena yang aneh kerana pada malamnya mereka dilanda hujan batu, dan siangnya pula dilanda panas cuaca melampau.
Memetik berita The Sun, cuaca panas ini dijangka akan naik sehingga 33 Celcius pada hari Jumaat ini (23 Julai 2021).
Antara kesan awal cuaca panas ini adalah, aiskrim di swalayan (layan diri) di seluruh negara habis terjual kerana penduduk berusaha menyejukkan diri mereka sendiri.
Majlis Perbandaran Somerset berkata, “Bayangkan, jalan tar seperti coklat, meleleh dan lembut saat panas dan menjadi keras dan rapuh ketika sejuk.”
Sebilangan pengguna jalan raya mengeluh kerana tar melekat pada tayar kenderaan mereka. Sementara kereta api pula terpaksa dipandu perlahan akibat rel yang melengkung.
Network Rail, penyedia perkhidmatan kereta api berkata, “Rel mengembang ketika suhu menjadi panas. Kelajuan terpaksa dihadkan bagi mengurankan tekanan pada trek dan mengurangkan risiko rel melengkung.”
Pihak berkuasa penerbangan Sivil Britain pula mengatakan, “Ada kemungkinan tablet dan telefon pintar menjadi panas dan mati semasa cuaca panas.”
“Baru-baru ini kami melihat peningkatan pencerobohan ruang udara akibat alatan yang menjadi terlalu panas,” tambahnya lagi.
Penduduk juga diingatkan supaya terus tenang dan berada di dalam rumah, terutamanya mereka yang rentan kesihatannya.