DuniaSemasa

Diskriminasi Ekstrem Dorong Etnik Rohingya Gadai Nyawa Jadi Pelarian

Oleh: Syafiq Azhari Bin Kamin

Pelarian Rohingya sanggup meredah bahayanya badai lautan demi mencari tempat yang boleh memberikan mereka kebebasan dan kesenangan. Dewasa mahupun kanak-kanak terpaksa melarikan diri daripada musibah yang mereka hadapi. Apakah sebenarnya yang dihadapi mereka sehingga mereka sanggup mengambil risiko seperti ini?

Etnik Rohingya sebenarnya menghadapi diskriminasi yang sangat teruk di tempat mereka sendiri. Mereka kehilangan kebebasan untuk bergerak secara bebas. Meskipun tujuan mereka untuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan, ia tetap tidak dibenarkan jika ia tidak diizinkan. Selain itu, mereka juga tidak mendapat pengakuan kewarganegaraan di negara mereka sendiri. Semua ini disebabkan nilai ‘racism’ yang berlaku hanya kerana agama yang dianuti mereka adalah agama Islam.

Ini semua mengakibatkan mereka terpaksa berhadapan dengan kekerasan dan penindasan yang berpanjangan sehingga mereka terpaksa melarikan diri mereka. Apa yang berlaku kepada warga Rohingya di Rakhine, Myanmar merupakan suatu bentuk kezaliman sesama umat manusia yang seharusnya tidak berlaku. Nyawa yang melayang kerana insiden ini tidak mampu digantikan dengan sebanyak manapun nilai wang ringgit.

Sesungguhnya agama Islam telah mengajarkan kepada kita bagaimana kita sewajarnya melayan sesama umat manusia. Hakikat yang diajarkan oleh agama Islam adalah bahawa kita semua adalah sama nilainya disisi Allah SWT kecuali mereka yang lebih bertaqwa kepada-Nya seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat ke 13:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Rasulullah SAW juga bersabda di dalam hadisnya; “Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketaqwaan.” (HR Ahmad dan al-Baihaqi)

Maka, hendaklah kita tidak berbuat zalim sesama manusia. Sebaliknya, hendaklah kita berlaku adil agar kita dapat mencapai nilai bahagia dalam hidup, seterusnya kita akan meraih satu kehidupan bermasyarakat yang penuh harmoni dan makmur. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 90:

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ…

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan…”

Kesimpulan daripada isu ini adalah bahawasanya diskriminasi dan “racism” merupakan satu perbuatan yang salah dan hanya mengundang perbalahan dan dendam sesama umat manusia. Ia tidak mendatangkan manfaat dan hanya menyebabkan kehancuran sesama umat manusia. Kita dianjurkan untuk berbuat baik sesama manusia dan melayan semuanya secara saksama dan sama rata. Insya Allah kita akan dapat mencapai hidup kebersamaan yang lebih baik, makmur, dan bahagia.

 

Sumber: Associated Press. (2025). Rohingya Muslims plead for help at the UN to stop killings.

Related Articles

Back to top button