HUDUR: Medecins Sans Frontieres (MSF), juga dikenali sebagai Doctors Without Borders, mengumumkan pada Isnin bahawa mereka telah memutuskan untuk menarik balik semua perkhidmatannya dari Hospital Besar Las Anod Somalia di wilayah Sool disebabkan peningkatan ketidaktentuan dan insiden keselamatan berulang yang telah menjejaskan bantuan perubatan yang selamat, lapor agensi Anadolu.
Mereka berkata serangan berulang ke atas kemudahan perubatan dan tahap keganasan melampau telah mencapai tahap di mana bantuan perubatan tidak lagi mampu disediakan.
“Kami kesal kerana terpaksa menghentikan sokongan perubatan yang sudah pasti akan memberi kesan kepada orang ramai untuk mengakses rawatan penjagaan perubatan penting, susulan konflik yang berterusan“.
“Kami perlu bekerja dalam persekitaran yang standard minimum keselamatan pesakit dan pekerja penjagaan kesihatan dijamin”, kata wakil MSF Dana Krause dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Mogadishu.
Dalam pertempuran pada 8 Julai, hospital turut terjejas menyebabkan kecederaan dalam kalangan petugas perubatan selain merosakkan ambulans dan memaksa penutupan wad bersalin.
Serangan di Las Anod sebelum ini turut meragut nyawa pekerja kesihatan dan sukarelawan, menurut badan amal itu.
BACA JUGA
Bantu Afrika dengan ibadah korban