
COLOMBO : Dua lelaki rebah dan meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk mendapatkan bahan api, ketika harga yang melambung tinggi yang membawa kepada rekod inflasi.
Menurut jurucakap polis Sri Lanka, Nalin Thalduwa kedua-dua mangsa tersebut yang berusia dalam lingkungan 70-an meninggal dunia ketika beratur untuk membeli petrol dan minyak tanah di dua bahagian berbeza di negara itu.
Selama berminggu-minggu orang ramai beratur di pam, selalunya selama berjam-jam, dan negara itu sudah mengalami pemotongan bekalan elektrik.
“Demi mendapatkan bahan api, seorang pemandu tiga roda berusia 70 tahun yang menghidap kencing manis dan jantung manakala yang kedua berusia 72 tahun, kedua-duanya sanggup tunggu dalam barisan selama kira-kira empat jam,” kata Thalduwa.
Presiden Kesatuan Pekerja Am Petroleum, Ashoka Ranwala, memaklumkan bahawa satu-satunya loji penapisan bahan api telah mengantung operasinya ekoran kehabisan stok minyak mentah.
Penggunaan minyak tanah meningkat selepas keluarga berpendapatan rendah mula beralih daripada gas memasak akibat kenaikan harga bahan api.
Sri Lanka bergelut untuk mencari dana membayar penghantaran bahan api yang semakin mahal sejak Januari lalu, dengan rizab mata wang asingnya merosot kepada $2.31 bilion (RM9.69 bilion) bulan lalu.
Inflasi Sri Lanka bulan lalu mencecah 15.1 peratus antara yang tertinggi di Asia, dengan inflasi makanan melonjak kepada 25.7 peratus, menurut data kerajaan terkini.
– AGENSI